Friday 26 April 2013

Isu Rumah Tangga @ FB : Kongsi Atau Dedah ?

Sejak dilancarkan di Cambridge , Massachusetts pada tahun 2004 , rangkaian sosial Facebook (FB) meledak dan membina pengaruh di seluruh dunia , termasuklah di negara kita Malaysia . Setelah mencapai angka 12 juta pengguna sekitar penghujung tahun lepas , kini FB menambah lebih sejuta lagi akaun baru untuk pengguna Malaysia , menjadikan jumlah keseluruhan sekarang melangkau angka 13 juta akaun . Ini bermakna , hampir separuh rakyat Malaysia mempunyai akaun FB . Di peringkat dunia pula , Malaysia menduduki tangga ke - 18 pengguna FB ! ! !

Hal ini bukan lagi satu fenomena baharu . Ia adalah cetusan daripada ledakan globalisasi yang tidak dapat ditahan dan dihalang lagi . FB sendiri dikatakan telah mencatat antara laman sosial yang paling popular selain twitter , friendster dan lain - lain .

Pada asasnya , FB memberi banyak manfaat kepada masyarakat dan dunia . Kehadiran FB dilihat dapat merapatkan jurang silaturrahim sesama ahli keluarga , saudara - mara atau rakan yang jauh . Ini kerana , aktiviti komunikasi menjadi mudah dan menyeronokkan . Ya , hanya di hujung jari anda !

Begitu juga jika dilihat dari konteks dakwah dan penyebaran ilmu Islam , menjalankan perniagaan secara dalam talian , mewujudkan jaringan dan komuniti , ia sebenarnya memberi banyak kelebihan , cukup efektif dan berkesan .

Namun , persoalannya sejauh mana laman sosial popular seperti FB ini benar - benar memberi manfaat , dan bukannya menjadi alat yang melekakan , medium yang memecah - belahkan keutuhan persahabatan , kekeluargaan dan masyarakat , atau menjadi tempat orang meratap nasib , mendedahkan keaiban diri , menambah dosa serta mengurangkan produktiviti masyarakat ?

Realiti tang berlaku , bersama wujudnya zaman 'diari terbuka' ini , wujud pula satu permasalahan baharu apabila kita sering teruja untuk berkongsi apa sahaja tentang diri dan keluarga kita , tanpa mengenal batas do's and don'tsnya . Kita lupa , syariat Islam itu sekalipun ia meraikan kebebasan berbuat dan bertindak , namun ia tetap ada adab dan batas . Di situlah kekuatan , keunikan dan keampuhan Islam .

Kisah Rahsia Suami Isteri
Apabila berbicara sekitar skop kekeluargaan , kadangkala para suami mahupun isteri terlupa tentang kisah - kisah dan rahsia rumah tangga mereka yang tidak patut dikongsi untuk bacaan umum di laman FB .

Ada yang menceritakan keaiban suami dan isteri masing - masing kepada rakan - rakan yang kononnya sangat memahami diri mereka . Ada yang bermain kayu tiga di FB . Ada lelaki yang memperdaya kaum wanita yang bermasalah dengan pasangan masing - masing , dan begitu juga sebaliknya .

Di sebalik kelekaan mereka melayan perasaan dan emosi yang dianggap 'sikap terbuka' itu , ada keburukan yang menanti . Ada retak menanti belah . Ada syaitan yang menunggu untuk bertepuk tangan dan ketawa terbahak - bahak .

Kenapa ? ? ?

Syaitan ketawa kerana sikap bodoh , tidak sensitif , lemah , pemarah , gopoh - gapah , cemburu buta , teburu - buru yang dituruti sama ada oleh suami atau isteri . Dengan adanya sifat - sifat negatif ini dalam diri mereka , maka mudahlah bagi syaitan untuk menguasai dan menjadikan mereka sebagai tunggangan yang boleh dipandu kemana - mana .

Allah SWT berfirman : "Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak - anak Adam , supaya kamu jangan menyembah syaitan ? Sesungguhnya ia musuh yang nyata bagi kamu !" (Yasin 36 : 60)

Allah SWT berfirman lagi : "Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan ." (Yusuf 12 : 53)

Sebagai Muslim yang ingin membentuk peribadi menjadi Mukmin dan Mukminah sejati , kita harus lebih berwaspada agar tidak mudah terjerat dengan satu lagi taktik yang boleh meleburkan pahala dan menambah dosa dalam idup kita seharian .

Baik suami atau isteri , kedua - dua mereka diharamkan daripada menyebar dan menjaja hal - hal peribadi atau rahsia keluarga mereka .

Allah SWT berfirman : "Maka wanita yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) , dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suaminya tidak ada bersamanya , dengan pemeliharaan Alla dan pertolongan - Nya ." (An - Nisa' 4 : 34)

Manakala Rasullullah SAW pula bersabda : "Seburuk - buruk kedudukan manusia di sisi Allah pada hari kiamat adalah seorang lelaki yang menggauli isterinya dan isterinya pun menggaulinya , kemudian dia menyebarkan rahsia isterinya ." (Riwayat Muslim)

Adab Di Laman Sosial .
Sebagai suami dan isteri atau pengguna mana - mana laman sosial bahkan alam siber seluruhnya , kita perlulah menjaga adab . Adab itu teras dan sendi utama pengajian malah agama kita . Tanpa adab , hilanglah keberkatan hidup kita . Seperti mana ada adab - adab yang perlu dihalusi dan diamalkan ketika kita hendak bercakap , bekerja , makan , minum , tidur dan sebagainya , maka begitulah juga ketika kita hendak bersosial atau berkomunikasi di alam siber .

Pentingnya adab ini ada dinyatakan oleh Imam Ibnu Al - Mubarak , seorang ulama yang terkenal di zamannya ; "Aku mempelajari adab selama tiga puluh tahun , dan aku mempelajari ilmu selama dua puluh tahun . Dan adalah mereka (para ulama) mempelajari adab dahulu sebelum mempelajari ilmu . "

Selain memahami dan menghayati adab , sebagai pengguna laman - laman sosial , kita perlu ada 'filter' atau penapis untuk menyaring setiap maklumat sama ada daripada pihak kita atau luar (pihak ketiga) .

'Filter' itulah iman kita , jiwa takwa di dalam dada . Iman dan takwa itulah benteng yang ampuh , yang membuatkan kita akan fikir berkali - kali sebelum kita 'post' , 'like' atau 'share' sesuatu maklumat atau berita , dan kemudiannya disusuli dengan muhasabah diri yang tidak sedikit . Iman itulah juga yang membuatkan kita rasa malu , andai aib kita terdedah atau didedahkan , lebih - lebih lagi hal - hal yang melibatkan keaiban dan rahsia peribadi , ahli keluarga dan rumah tangga kita .

Ingatlah , bahawa masa , umur , maruah dan keluarga kita adalah amanah Allah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti .

Sumber : Majalah Anis edisi Mac 2013
Oleh : Ustaz Amaludin Mohd Napiah

1 comment:

  1. Secara jujurnya, FB banyak memberi faedah dan manfaat pada iha.. tapi kita kenalah gunakan fb dgn cara yg betul.. jangan jadikan fb tempat kita lepaskan geram dan mengadu masalah peribadi.. :)

    ReplyDelete