Thursday 19 March 2015

I ❤ KPOP: "Maksiat Dengan Izin Allah" .

Insiden tiga remaja perempuan Muslim yang merelakan diri dipeluk dan dicium artis Korea cukup mengejutkan. Siapa sangka, gadis-gadis Melayu bertudung litup ini hanya membiarkan sahaja diri diperlakukan sedemikian rupa, dek kerana taasub dengan boyband pujaan mereka.

Fenomena Hallyu (Korean Wave) yang menyerang industri hiburan hari ini menyebabkan ramai remaja menjadikan artis dan selebriti Korea sebagai pujaan. Sebenarnya, tidak salah berhibur asalkan tidak melanggar syariat agama. Namun hiburan itu akan menjadi suatu yang haram apabila membelakangkan tuntutan syariat Islam. Seperti semut mengelilingi gula, begitu jugalah yang terjadi kepada mereka.

Gelombang Korea itu bukan satu benda yang boleh ditahan dengan tangan atau pun benteng penahan ombak. Fenomena Hallyu telah mendominasi sebahagian besar industri hiburan sehingga ramai kalangan remaja yang terpesona dengan budaya K-Pop. Jika dilihat dari sudut yang positif ia memberi kesan yang baik terutama dalam aspek hormat-menghormati sesama manusia.



Akan tetapi, dalam masa yang sama, terdapat juga impak negatif. Ini dapat dilihat melalui kontroversi yang berlaku terhadap tiga remaja perempuan terbabit. Isu kemudiannya menjadi semakin panas apabila remaja lain memberi maklum balas mempertahankan tindakan remaja terbabit dengan kenyataan 'Allah memberi izin mereka dipeluk'.

Kenyataan seperti ini memberi konotasi bahawa perbuatan maksiat jika ia berlaku bermakna Allah telah memberi izin ianya terjadi. Lantaran itu, Dr. Rosmawati Mohamad Rasit, Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diminta mengulas bagi mencerahkan kesalah fahaman yang berlaku ini.

Memulakan bicaranya, ketika ini bahan komoditi daripada Korea telah menjadi kegilaan remaja seperti drama, muzik K-Pop, fesyen, makanan, bahasa dan juga budaya masyarakatnya. Hakikatnya, Korea kini merupakan antara 10 pengeksport budaya teratas dunia.

Jelasnya, keterujaan dan ketaasuban peminat Korean Wave yang tidak terkawal, menyebabkan mereka menjadi rapuh jiwa sehingga merelakan diri untuk dipeluk dan dicium oleh boyband di atas pentas.

Isu ini kemudia dipanjangkan pula dengan maklum balas daripada seorang remaja lain yang telah menjadi viral di laman sosial Youtube yang mempertahankan tindakan tiga remaja terbabit. Mungkin nawaitu asalnya baik, agar masayarakat tidak menghentam tindakan remaja terbabit secara membuta tuli dan terus menghukum tanpa memberi peluang kepada mereka.

Namun yang menyedihkan apabila ketidakfahaman remaja perempuan tersebut tentang konsep akidah dan ketuhanan menyebabkannya tidak memahami konsep 'dengan izin Allah' secara jelas. Antara pernyataannya ialah, "Bukan mereka diuji tetapi juga, mereka berada di atas pentas kerana izin Allah".

Hakikatnya, qadak dan qadar dengan keizinan Allah tidak boleh dimanipulasikan dengan fakta dan pernyataannya yang sewenang-wenangnya. Sebagai contoh jika kita berdoa kepada Allah dan apa yang didoakan tidak dapat. Adakah ketika itu kita menyangka Allah tidak akan mengabulkan doa kita?

Sedangkan sebagai seorang Muslim, bertakwa dan yakin kepada Allah seharusnya berfikir yang sudah tentu ada hikmah di sebalik semua itu berlaku. Sudah pastinya juga Allah S.W.T. akan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kita kehendaki.

Dan, sekiranya tindakan dan amalan salah serta buruk yang telah dilakukan oleh hamba-Nya, jika diizinkan Allah berlaku, sebenarnya bukan bermakna ia sesuatu yang baik. Malah jika diizinkan berlaku adalah untuk menyesatkan pelakunya kerana kepercayaan yang dipegang selama ini.

Oleh itu, tegas Dr. Rosmawati, sebagai umat Islam, kepercayaan kepada enam rukun iman sangat penting sebagai interpretasi kehambaan kita kepada Yang Maha Agung. Orang beriman itu hidup, kerana itulah perintah untuk bertakwa perlu dihadam sebagai ketaatan kepada Allah dan Rasul dalam semua perkara yang diperintah juga dilarang.

Ketakwaan itu mampu menyucikan jiwa dengan melaksanakan perintah dan meninggalkan segala larangan. Apabila jiwa seseorang hamba itu suci, maka ia jelas jujur dan berada dalam kebenaran serta Allah akan melindunginya daripada perkara-perkara yang dibenci.

Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 119 bermaksud, "Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang yang benar."

Justeru itu, tidak timbul kenyataan 'dengan izin Allah' pergi ke tempat maksiat seperti ke pentas konsert K-Pop kerana tindakan dan perbuatan itu sebenarnya perkara larangan serta maksiat yang menghilangkan kesucian dan ketakwaan kepada Allah.

Tuntasnya lagi, sebagai hamba Allah, perlu meyakini bahawa azab kemurkaan dan seksaan Allah tidak boleh disekat, kecuali dengan ketaatan kepada-Nya, seperti mana yang tercatat dalam ibrah para rasul sebelum ini.

Surah al-Insan ayat 3 ada menyatakan "Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka sesungguhnya kami telah menunujukkan kepadanya (melalui akal dan rasul) akan jalan-jalan (yang benanr dan salah: Maka terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat) ataupun ia kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka)."



PILIHAN DI TANGAN KITA

Akui Dr. Rosmawati, setiap manusia mempunyai pilihan untuk membuat keputusan dalam hidup. Namun kadangkala terlepas pandang dengan membuat keputusan yang tidak tepat disebabkan pengaruh akal fikir dan nafsu.

Al-Ghazali membahaskan bahawa hati sebagai raja manakala akal sebagai menteri. Oleh itu dalam membuat sebarang tindakan keputusan, akal perlu rasional dalam mengemudi hati seiring dengan ketakwaan kepada Allah.

Maka itu terangnya, peranan agama sangat perlu dalam mendepani budaya popular demi mengekang serta membendung fahaman isme yang semakin merebak dalam kalangan masyarakat seperti liberalisme dan sekularisme.

Nilai budaya yang dipegang dan diamalkan seharusnya tidak bertentangan dengan nilai agama masyarakat Islam. Akidah kepercayaan sebagai Muslim yang kukuh imanlah sebenarnya yang menjadi asas keyakinan dengan segala ketentuan Allah.

Dalam pada itu, Dr. Rosmawati juga mengingatkan, setiap tindakan dan perbuatan sudah tentu dinilai secara praktikal oleh Allah. Apa sahaja perbuatan yang baik akan diberi ganjaran pahala, begitu juga sebaliknya jika kita melakukan maksiat dan dosa akan diberi hukuman setimpal. Jadi tidak timbul isunya di sini tentang pilihan yang dibuat dalam hidup ini kerana alasannya 'dengan izin Allah'. Ini kerana, manusia mempunyai pilihan sama ada untuk melakukannya atau tidak.

Setelah dihuraikan dengan jelas, Dr. Rosmawati menegaskan sekali lagi, sepatutnya tidak timbul pergi ke pentas konsert tersebut dengan izin Allah setelah keputusan dibuat untuk menghadirinya. Di situlah letaknya hikmah, mengapa Allah jadikan syurga dan neraka supaya menusia memilih jalan yang manakan harus diikuti?

Sumber: Majalah Al-Islam (April 2015)

No comments:

Post a Comment