Sunday 15 January 2012

Saya Tahu Saya Tidak Cantik..

SAYA TAHU SAYA TAK CANTIK
Saya tahu saya tidak cantik . Tapi , walaupun saya tidak cantik , saya tetap ada kelebihan .
Kerana saya tidak cantik , saya tidak jadi mangsa gangguan lelaki-lelaki yang rosak akhlaknya .
Kerana saya tidak cantik , saya dapat pelihara diri saya daripada pandangan bernafsu lelaki yang tidak menjaga pandangannya .
Kerana saya tidak cantik , saya selamat daripada menjadi senjata iblis mencairkan iman lelaki .
Kerana saya tidak cantik , saya tidak mendapat fitnah dan cemburu daripada wanita-wanita lain .
Kerana saya tidak cantik , saya tidak mengharapkan pujian daripada mana-mana lelaki dan wanita .
Dan kerana saya tidak cantik , akhirnya saya menemui insan yang ikhlas mencintai saya seadanya .
Kerana saya tahu . Saya tidak cantik pada pandangan manusia . Maka saya akan berusaha agar kelihatan cantik pada ALLAH . Kerana bukan kecantikan dunia yang saya kejar . Tapi KECANTIKAN di akhirat kelak .

 KECANTIKAN : DI MANA NILAINYA?
Manusia sememangnya hidupan yang pelik , istilah kecantikan didefinasikan kepada pelbagai . Kalau di Iran, wanitanya begitu obses dengan hidung yang dibedah , atau di Mauritania di mana wanita gemuk dianggap seksi dan mengghairahkan . Bagaimana dengan masyarakat kita sendiri pula ?

Tidak perlu mempunyai hidung yang mancung seperti paruh seludang , atau wajah yang sesempurna Aishwarya Rai . Cukup dengan berpakaian tapi seolah-olah "bertelanjang" dan mengenakan kain ela yang pelbagai untuk menutupi kepala , itu cantik namanya.

Minta maaf bukan hendak memperlekehkan kecantikan plastik wanita , itu realiti yang telah lama bertapak dalam mentaliti masyarakat kita . Tipikal ? Tiada siapa yang boleh menafikannya .
Pada saya kecantikan ialah bagaimana mata mereka yang memandang itu mentafsirnya . Lebih tepat , pandangan orang lain terhadap fizikal kita . Betul ! Dan saya pernah membuat eksperimen sendiri dengan mengajak adik-adik saudara lelaki saya untuk memilih artis wanita yang mereka rasakan tercantik .
Hasilnya seperti diduga , setiap daripada mereka memilih artis wanita yang berlainan . Bila saya tanya kenapa pilihan masing-masing yang terbaik , semua sibuk memberikan seribu satu alasan yang tidak boleh diterima oleh akal saya .

Lihat ! Bukankah itu bukti yang nyata bahawa kecantikan itu terlalu besar skopnya untuk diperjelaskan kepada umum ? Apa yang cantik di mata saya atau anda , tidak semestinya akan cantik pada pandangan orang lain juga .

Persoalannya , adakah apa yang kita ada sekarang ini bukan yang terbaik ? Adakah Allah itu zalim dan pilih bulu dengan memberi sesetengah daripada kita wajah yang cantik manakala setengah lagi fizikal yang tidak sempurna ?

Bukankah Allah itu Maha Adil ? Bukankah Allah itu Maha Mengetahui ? Bukankah Allah itu Maha Bijaksana ? Jika begitu mengapa ada sesetengah daripada kita masih meratapi kekurangan yang ada pada diri masing-masing ?


ANGGUN DI MATA ALLAH : SEBUAH KECANTIKAN SEJATI
Kecantikan terdiri dari 2 jenis ; kecantikan lahir dan kecantikan batin . Kecantikan batin (inner beauty) adalah kecantikan yang dicari kerana essensinya , seperti kecantikan ilmu , akal fikiran , dan kesucian diri . Kecantikan batin inilah yang merupakan titik pandang Allah pada diri hamba-hamba-Nya .

Sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis :

"Sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa dan postur tubuh kalian . Akan tetapi , Allah melihat pada hati kalian ." (HR. Muslim).

Sebenarnya kita semua adalah makhluk ciptaan-Nya yang paling sempurna dan cantik di muka bumi ini . Allah telah menentukan sesuatu sifat dalam diri kita adalah yang terbaik . Hanya mata kita sahaja yang diselaputi dengan nafsu yang tidak dapat melihat kebaikan yang ada pada sesuatu kejadian .

Mengapa sukar bagi kita untuk redha kepada kejadian Allah ? Bukankah periuk orang lain sentiasa putih daripada apa yang kita ada ? Kita sentiasa melihat apa yang ada pada orang lain itu jauh lebih baik daripada apa yang kita miliki .

Sedangkan nabi Muhammad S.A.W sendiri telah menasihatkan kita agar melihat orang yang kurang bernasib baik . Jangan melihat orang yang lebih bertuah kerana itu akan membuatkan kita tidak bersyukur . Dan itulah masalahnya pada diri kita . Kita sentiasa mengejar yang sempurna dalam kehidupan seharian . Sentiasa mahukan yang lebih bagus daripada orang lain .

Kita ada biduk , tetapi dalam masa yang sama berkehendakkan serempu pula . Tidak terkecuali dengan saya . Siapa yang tidak suka mendengar pujian melangit kerana cantik , bukan ? Ketika zaman bersekolah , semuanya kena bersaing atau sekurang-kurangnya sama dengan kawan-kawan . Pakai baju ketat , seluar sendat , dari tudung sehinggalah kepada kasut , kalau boleh semua mengikut peredaran fesyen . Pendek kata melaram berlebihan . Cuba bayangkan betapa banyak dosa yang terpaksa saya tanggung semata-mata untuk kelihatan trendy seperti itu ? Syukurlah kesedaran datang sebelum lebih banyak dosa terkumpul .

Sekarang ini nak pergi mana pun , satu yang sentiasa perlu tanamkan dalam kepala adalah "bersederhana dalam berfesyen" . Cukup dengan hanya menempel "wudhu'" di wajah , bertudung dan tidak memakai pakaian ketat yang menonjolkan bentuk badan .

Untuk itu , mari kita belajarlah untuk berkata Alhamdulillah dengan apa yang ada pada diri kita . Sedarlah, kecantikan bukan terletak pada secantik mana fizikal kita dilihat oleh mata orang lain , atau 'setrendy' mana pakaian yang telah membaluti tubuh masing-masing . Tetapi secantik mana kita di mata Allah .

No comments:

Post a Comment