Saturday 2 March 2013

Doa Buatmu Perwira Negara . . .


Bismillahirrahmanirrahim :

Ya Allah Ya Tuhan kami,
Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Tuhan yang mempunyai kekuasaan dan kebesaran.
Tuhan penganugerah keselamatan dan kesejahteraan.
Kami hamba-hamba-Mu menadah tangan sebagai tanda syukur yang tidak terhingga untuk dihitungnya,
Atas keselamatan dan kesejahteraan,
Kesihatan dan kenikmatan yang Engkau anugerahkan ke atas negara kami yang tercinta ini Ya Allah.

Ya Allah ya Tuhan kami,
Engkau campakkanlah jaluran kerahmatan yang berpanjangan kepada kami,
Engkau simpulkanlah ikatan ukhwah penuh keserasian,
Engkau labuhkan tirai keampunan maghfirah penuh keinsafan,
Engkau jaringkan tangsi hidayah dan inayah yang berkekalan,
Engkau titiskan darjah kesolehan dan kesihatan yang berkekalan buat kami,
Anak-anak watan juga keluarga yang tersayang.

Wahai pejuang-pejuang dan perwira-perwira negara,
Bangkit dan bersumpahlah berpaksikan kalimah akidah tauhid Laailahaillallah Muhammadur Rasulullah, Bahawa tidak akan kami biarkan bumi yang bertuah penuh bersejarah ini,
Diinjak pijak,
Disentap rentap,
Diselat lipat dek musuh durjana petualang bangsa Ya Allah.

Tidak akan kami biarkan,
Biar ia putih bersih,
Tidak akan kami biarkan ya Allah,
Biarkan kami mencurahkan segala kesangggupan dan keupayaan kami di dalam mempertahankan negara kami dari sebarang kekacauan,
Huru hara dan pencerobohan.
Biarkan kami berputih tulang namun tidak sekali-kali kami berputih mata menyerahkan kedaulatan negara kepada pengkhianat bangsa, agama dan negara
Malaysia yang kami cintai ini walaupun roh kami melayang menjadi taruhan menyembah sujud bertemu-Mu Ya Salam.

Amin Ya ALLAH . . .


 AL FATIHAH: Insp Zulkifli bin Mamat (29) dan Koperal Sabaruddin bin Daud (47) dari Unit 69 Komando PDRM meninggal dunia selepas terkena serangan mortar di Kampung Tanduo, yang menjadi kubu kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina, tengahari semalam (Jumaat). Mereka terkena serangan itu ketika sedang berkawal di satu daripada pos di sekitar Kampung Tanduo.

Insp Zulkifli bin Mamat berasal dari Kg Kubang Ikan, Tembila, Besut. Ibu Allahyarham, Puan Khadijah bt Ismail (64 tahun) merupakan seorang ibu tunggal dan Allahyarham adalah anak ke-3 daripada 5 orang adik beradik. Isteri beliau, Noraziah bt Nor, merupakan seorang guru dan mereka mempunyai 2 orang anak lelaki berumur 5 dan 1 tahun. Isteri Allahyarham Insp Zulkifli kini sedang hamil anak yang ke-3.

Manakala Allahyarham Kpl Sabaruddin bin Daud mempunyai 6 org adik beradik. Beliau yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor telah meninggalkan seorang balu, Puan Nurul Nisah bt Abu dan 3 org anak yang berusia 19, 17 dan 13 tahun.

Semoga roh kedua-dua mereka dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Al-Fatihah.

Solat jenazah Allahyarham ZULKIFLI B. MAMAT dan Allahyarham SABARUDDIN B. DAUD di Masjid Jamek Batalion 17 Pasukan Gerakan Am, Lahad Datu semalam.

No comments:

Post a Comment